Friday, May 24, 2013

CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH

Diposkan oleh Unknown di 5/24/2013 01:54:00 AM
Bismillahir-Rahmanir-Rahim ... Jika ditanya pada golongan lelaki adakah mereka impikan untuk memiliki wanita yang solehah sudah pasti semuanya akan berkata YA. Walau sejahat manapun lelaki tersebut pasti ia akan mengimpikan wanita yang solehah untuk dijadikan sebagai teman sehidup semati.

Sama juga seperti golongan wanita. Jika ditanya juga pada golongan wanita adakah mereka impikan untuk sehidup semati dengan lelaki yang soleh pasti semuanya akan berkata YA.

Siapa pula yang inginkan lelaki atau wanita yang tidak soleh dan solehah? Untuk mengecapi hubungan bahagia yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, sebenarnya setiap pasangan itu perlulah tahu tanggungjawab masing2.

Berikut adalah antara ciri-ciri wanita solehah idaman lelaki,,

1. Mencintai Allah dan Rasul,
Melebihi cinta dan ketaatan kepada orang lain. Sabda Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam::

“Tiga perkara sesiapa yang memilikinya akan mendapat kemanisan iman: menjadikan Allah dan Rasulnya lebih di cintai daripada kedua-duanya…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mencintai Allah dan Rasul dengan mentaati segala suruhan dan larangan syarak.Termasuk mencintai Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam ialah mengikut dan mencintai baginda dalam setiap perkara, Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

“Katakanlah (wahai Muhammad): jika benar kalian mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya Allah akan mengasihi kalian, Dan (ingatlah), Allah maha pengampun; lagi maha mengasihani” (surah Ali Imran:31)

2. Mentaati Ibu Bapa,,
Sentiasa mentaati ibu bapa dalam perkara makruf menasihati ke arah kebaikan. Jangan menderhaka kepada keduanya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

“Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa” (surah al-Israk:23)

Sebelum bersuami ketaatan kepada ibu bapa adalah yang lebih utama selepas Allah dan Rasul.

3. Mentaati Suami Dalam Perkara Makruf,,
Setelah berkahwin ketaatan kepada ibu bapa berpindah kepada suami. Mentaati dalam perkara yang baik dan harus. Apabila suami menyuruh kepada maksiat tiada lagi ketaatan.

Sabda Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam::

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah”

Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam: bersabda,

“Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia, tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya” (Riwayat al-Tirmizi hasan sahih)

Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada perintah Allah dan Rasul serta setia kepada suami yang soleh.

“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’:34)

4. Menguruskan rumahtangga,,
Seorang isteri Muslimah disuruh oleh Allah agar sentiasa berada dirumah dan tidak boleh pergi kemana-mana sesuka hati tanpa izin suami. Duduk dirumah bukan bererti hanya berdiam diri sahaja tetapi mengerjakan tugas sebagai isteri.

Hikmah daripada perintah Allah tersebut iaitu, supaya para isteri dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami mencari rezeki. Masa lapang ia perlu di isi dengan menambah pengetahuan tentang ugama sebagai bekalan untuk menghadapi ujian hidup pada masa hadapan dan membimbing keluarga ke arah kebaikan.

Sabda Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam::

“Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim”. (Riwayat Ibn Majah Sahih oleh al-Albani dalam Sunan Ibn Majah)

Bijaksana menguruskan hal rumahtangga mendahulukan amalan yang wajib daripada yang sunat. Amalan sunat dan tanggungjawap kepada suami dan keluarga perlu didahulukan kewajipan sebagai isteri daripada amalan sunat yang lain.

Sabda Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam::

“Tidak halal bagi wanita berpuasa sedangkan suaminya ada di sisi tanpa keizinannya” (Fath al-Bari, Kitab al-Nikah)

5. Berhias untuk suami,,
Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita yang tidak faham akan kewajipannya, ia berhias diri ketika akan keluar rumah. Tetapi ketika di rumah ia dalam keadaan tidak bersih. Padahal di dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami.

Sebuah riwayat menceritakan :

“ Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam: ditanya tentang sebaik-baik wanita. Baginda menjawab: Yang menyukakan kamu apabila memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu dengan baik dan menjaga harta kamu" (Riwayat Ahmad)

Tujuan isteri berhias ketika di rumah ialah supaya suami terhibur. Jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih dengan melihat isteri dalam keadaan berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia menjadi penawar kepada suami. Sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri.

Berhias bukan sahaja bagi menyambut kepulangan suami dari tempat kerja tetapi juga ketika suami ada di rumah. Wanita Islam hanya boleh berhias untuk dirinya sendiri dan untuk suaminya. Berhias mestilah dilakukan secara besederhana, kerana tujuan berhias agar ia kelihatan bersih dan senang dilihat oleh suami.

6. Berpakaian menurut ajaran Islam,,
Isteri yang menutup auratnya merupakan isteri yang solehah,Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman, ertinya:
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah Al-A’raaf:26)

Wanita solehah perlu memastikan dirinya apabila melangkah keluar rumah pakaian yang dipilih sentiasa menutup aurat dengan sempurna. Dilarang memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuh, aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan hingga ke pergelangan.

7. Menjaga batas pergaulan,,
Allah memerintahkan para wanita agar menundukkan pandangan ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Jika terdapat sebarang urusan, dia menjaga batasan yang sepatutnya. Ia perlu bagi mengelakan fitnah.

8. Bersahabat dengan wanita solehah,,
Seseorang itu dinilai mengikut kawan2 yang rapat dengannya. Jika kawan2nya solehah, maka dia juga memiliki sifat yang sama.

Sabda Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam: :
“Seseorang itu berada di atas agama kawannya. Oleh itu, perhatikanlah salah seorang kamu siapa kawannya” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dengan sanad yang Sahih)

Jadi, pada golongan wanita disana jagalah penampilan dan keperibadianmu sebagai wanita solehah. Anda bukan sahaja akan disenangi oleh suami anda bahkan anda juga akan disenangi dan dikasihi oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Allah sukakan hambanya yang menjaga dan mengikut apa yang diperintahkan oleh Nya. Jadilah wanita solehah. Pasti hubungan yang anda bina berkekalan dan bahagia sehingga ke akhir hayat. InsyaAllah.

~ o ~

Semoga bermanfaat dan Dapat Diambil Hikmah-Nya ...


by: fb strawberry

0 komentar:

 

eriva vha Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review